Dengan namamu ya Allah yang Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang..
21 Mac 2008:
Maha Suci Engkau, Ya Allah dan segala puji bagi-Mu, Ya Mutakabbir- yang Maha Memiliki Kebesaran. Aku bersaksi tiada tuhan selain-Mu Ya Allah dan Muhammad S.A.W itu pesuruh Allah. Ya Muhaimin- yang Maha Memelihara, restui dan berkatilah junjungan mulia, Muhammad sebagai hamba, nabi dan rasul-Mu yang ummi. Berkatilah keluarga dan sahabat baginda. Sejahterakanlah baginda selama-lamanya. Sesungguhnya, Engkau Maha Terpuji dan Maha Mulia.
Alhamdulillah Ya Allah! Engkau masih memberikanku kesempatan hidup di bumi-Mu, memberikanku kekuatan dalam meniti perjalanan di persinggahan yang fana’ ini. Syukur pada-Mu Ya Rahim, yang memberikan nikmat islam dan iman sebagai panduan hidupku.
Ya Allah, apa khabar ibu, ayah, Khalid dan Umar di sana? Mudah-mudahan kalian semua ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.Amiinn.. Aku di sini tidak lupa menitipkan doa untuk kalian. Hanya satu harapanku, semoga kalian dicucuri rahmat-Nya.
Ya Rahman, jadikanlah hari ini lebih baik daripada semalam, agar aku bisa melaksanakan tanggungjawabku sebagai khalifah di bumi-Mu sebaiknya.
Amiinn..
Pena bertinta biru yang sedari tadi ligat menari berhenti mencoretkan kata. Catatan berwarna hijau-putih itu ditutup. Tercatat nama pemiliknya, ‘Muhammad Amin bin Abdul Razak’ betul-betul di hadapan kulit buku tersebut. Perlahan-lahan dia menyimpan catatan harian itu di dalam laci kecil berwarna coklat muda. Usai solat subuh, seperti biasa, dia tidak pernah lupa mencoretkan sesuatu di buku kecil pemberian arwah bapanya. Pena bermata halus pemberian sang ibu digenggam erat. Serta merta, memori bersama kedua-dua insan yang dicintai berlegar di fikiran.
“Allah lebih sayangkan kalian. Pergilah menghadap Tuhan-Mu dengan aman. Semoga kalian tenang di sana. Sungguh, Ya Allah, aku redha dengan ujian yang Engkau berikan kepada hamba. Hanya Engkau yang mengetahui apa yang terbaik untukku,” bisik hati kecilnya. Kedinginan subuh membawanya merenung dan memerhatikan ciptaan Ilahi. Masih segar di ingatan, kata-kata seorang ustaz di sekolahnya tentang sepotong ayat al-Quran yang mengajak manusia berfikir sambil menghayati kekuasaan Allah.
‘Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang, terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal.’ (Ali Imran:190).
Tasbih, tahmid, zikir tidak putus-putus membasahi bibir memuji Allah, tuhan pemilik sekalian alam. Terasa kerdil diri ini di hadapan-Mu, Ya Allah. Hari ini, 21 Mac 2008, genap sebulan dia menjadi penghuni katil nombor 25, Hospital Sultanah Aminah. Sesekali fikirannya melayang kepada tragedi sebulan yang lalu. Peristiwa yang memberikan trauma yang cukup dasyat pada dirinya. Namun peristiwa itu juga membuatkannya kuat melangsungkan hidup di bumi tuhan.
Kedinginan hembusan angin pagi mematikan lamunannya. Sesekali matanya meliar melihat keadaan sekeliling. Masih ramai penghuni wad itu yang dibuai mimpi. Kepalanya menoleh ke kanan, ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Anak matanya menyapa kelibat seorang lelaki yang sedang terduduk lemah di atas katil bersebelahannya.
Aneh. Seingatnya, katil itu tidak berpenghuni sejak dua minggu yang lalu.
Siapa pemuda itu? Apa yang berlaku kepadanya? Soalan demi soalan menerpa minda. Dari pengamatannya, lelaki itu baru ditempatkan di ruangan itu. Dari riak wajah, pemuda itu kelihatan bingung, seakan-akan baru terjaga daripada mimpi ngeri.
“Argghh! Aku di mana? Kenapa aku berada di sini?!” Jeritan pemuda itu menyebabkan beberapa orang jururawat yang bertugas bergegas ke arah pemuda tersebut dan berusaha menenangkannya. Sebahagian lagi memanggil doktor yang bertugas. Amin yang tidak mahu menambahkan kekacauan itu hanya memerhatikan situasi tersebut.
“Saudara sekarang berada di hospital. Malam semalam saudara mengalami kemalangan sewaktu saudara dalam perjalanan untuk pulang ke rumah,” terang salah seorang jururawat muda.
“Assalamualaikum.” Terdengar satu suara yang datang dari sosok seorang perempuan lewat 20-an dengan penampilan yang kemas lengkap dengan kot putihnya.
“Apa khabar?” tanya wanita itu. Beberapa orang jururawat berlalu dan meneruskan tugas mereka.
“Saya Doktor Fatimah, doktor yang bertanggungjawab merawat saudara,” ujar Doktor Fatimah sambil melemparkan senyuman.
“Apa yang terjadi pada saya? Mengapa saya tidak dapat mengingat kembali apa yang berlaku kepada saya semalam? Bagaimana keadaan saya?” bertalu-talu soalan yang dilemparkan oleh sang pemuda kepada doktor muda itu.
“Saya harap saudara dapat bertenang dengan apa yang akan saya sampaikan,” ujar Doktor Fatimah memulakan bicara.
“Saudara terlibat dalam satu kemalangan malam semalam dalam perjalanan pulang ke rumah, tetapi Alhamdulillah, saudara tidak mengalami kecederaan yang serius. Cuma, kami mendapati ada beberapa kesan lebam di badan saudara dan beberapa luka kecil di dahi. Berdasarkan laporan pihak polis, saudara telah dipukul oleh sekumpulan samseng sehingga menyebabkan saudara tidak sedarkan diri. Kebetulan ada beberapa orang pejalan kaki yang melihat kejadian itu, bergegas mencari bantuan dan menghubungi pihak polis. Kumpulan samseng itu akhirnya berjaya diberkas oleh pihak polis. Adik lelaki saudara, Zahir yang kebetulan berada di tempat kejadian menghantar saudara ke hospital. Malangnya, dalam perjalanan, kereta yang dipandu oleh Zahir dilanggar dari belakang oleh sebuah lori pasir, menyebabkan kereta tersebut hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan,” terang doktor berkaca mata itu panjang lebar.
“Zahir? Bagaimana keadaannya?” dengan perasaan ingin tahu yang menggunung, pemuda itu langsung mencelah.
“Zharif, bersabarlah. Tenangkan dirimu. Zahir masih lagi berada dalam keadaan koma akibat kemalangan itu. Terjadi pendarahan dalaman di kepalanya akibat daripada hentakan yang kuat semasa kemalangan itu berlaku, selain dia juga kehilangan banyak darah sewaktu di bawa ke sini. Kami di sini berusaha yang terbaik untuk menyelamatkannya, namun dengan kondisi Zahir yang sangat kritikal sewaktu dibawa ke sini menyebabkan harapan untuk dirinya pulih seperti sedia kala sangat nipis.” ujar Dr. Fatimah simpati.
Zharif, sang pemuda itu tidak dapat menyembunyikan kesedihannya apabila mengenangkan situasi yang dialami satu-satunya saudara kandung yang dia punya di dunia ini. Manik-manik jernih yang sedari tadi bertakung di kelopak matanya, perlahan-lahan jatuh membasahi wajahnya.
“Kuatkan semangatmu dan banyakkan berdoa kepada Allah. Kita sebagai hamba-Nya hanya mampu merancang, tetapi segala-galanya ditentukan Allah. Ikhlaskanlah hatimu dalam menerima ujian ini dan percayalah pasti ada hikmah yang tersembunyi di atas tiap-tiap ujian yang Allah berikan pada hamba-Nya. Jangan pernah lupa bahawa Allah itu Maha Mendengar dan Maha Mengetahui rintihan hamba-Nya,” ujar Dr. Fatimah lagi.
Allah? Sudah sekian lama dia melupakan Sang Pencipta alam ini. Sudah lama juga dia melupakan ayat-ayat Allah iaitu mukjizat Nabi Muhammad S.A.W berupa kitab suci al-Quran yang dahulunya sering dihafal. Apa yang sering dilakukan hanyalah tegahan Allah. Solat? Puasa? Sering ditinggalkan. Pelbagai alasan yang diberi setiap kali diajak beribadah. Ibadah sunat? Jauh sekali.
“Saudara, menangislah jika itu bisa menenangkanmu. Luahkanlah segala yang terbuku di hatimu jika itu bisa mengembalikan keyakinanmu,” Satu suara mencelah.
“Kamu? Kamu siapa?”
“Saya Amin. Muhammad Amin. Saya penghuni katil di sebelah saudara,” ujar Amin selepas doktor itu berlalu. Salam perkenalan dihulur.
“Zharif,” balasnya sepatah.
Salam perkenalan disambut dengan hati yang terbuka walaupun hatinya masih duka atas kejadian yang menimpa saudara kandungnya.
Zharif tidak menafikan hakikat kebenaran nasihat yang diberikan oleh doktor muda dan teman barunya itu. Cuma, entah mengapa, dirinya seakan tidak mampu untuk menerima kenyataan bahawa adik kandungnya itu yang menerima akibat, gara-gara untuk menyelamatkan si abang.
Perlahan-lahan, memori semalam kembali bermain di benak fikirannya. Peristiwa yang hampir meragut nyawa sang adik.
Malam itu, 20 Mac merupakan ulang tahun adiknya, Zahir yang ke-20. Tanggal itu juga merupakan hari kedua dia menjejakkan kaki di bumi Malaysia setelah hampir lima tahun menimba ilmu di negeri matahari terbit. Malam itu mereka berdua menikmati makan malam di luar untuk meraikan ulang tahun adiknya. Sungguh, dia berasa kekok berhadapan dengan saudaranya sendiri. Mungkin jarangnya komunikasi antara mereka membuatkan dirinya berasa jauh dan ikatan ukhwah mereka tidak seerat dahulu. Sejak dia melanjutkan pelajaran di bumi sakura itu, masing-masing sibuk dengan hal sendiri. Mungkin salah dirinya, yang terlalu ego apabila berhadapan dengan saudaranya sendiri. Dia mengakui bahawa sang adik sering mencari peluang untuk merapatkan kembali ikatan persaudaraan mereka, namun seribu satu alasan diberikan membuatkan si adik jauh hati. Mungkin juga dia dikelilingi oleh teman-teman yang sering melalaikannya dari mengingati mati dan mengutamakan akhirat. Kehidupannya yang jauh dari keluarga membuatkannya bebas untuk mencuba segalanya tanpa mengambil kira batasan agama.
Namun, syukur kerana dia berjaya menamatkan pengajiannya dengan cemerlang, sekalipun ada di antara teman-temannya yang kecundang gara-gara hanyut ditelan arus kemaksiatan. Ternyata Allah masih menyayangi dirinya.
Sedang asyik menikmati makan malam, tidak semena-mena dia mendapat mesej melalui khidmat pesanan ringkas yang memintanya supaya menunggu seorang teman lama yang sama-sama menuntut di universiti dahulu.
‘Zharif, tolong aku! jumpa di tempat biasa jam 9.30 pm. PENTING!
Antara HIDUP dan MATI..’
Isi pesanan itu dibacanya berulang kali. Hatinya sedikit curiga dengan kandungan pesanan itu. Sebelum keluar, dia memaklumkan tentang mesej yang diterimanya dan lokasi pertemuan itu kepada Zahir.
Hampir lima belas minit menunggu, penantiannya berakhir apabila teman lamanya datang dengan menghadiahkan sebuah pukulan di pundaknya. Tidak cukup dengan itu, badannya ditendang sesuka hati.
“Kau memang bodoh, Zharif! Macam mana engkau percaya dengan penipu macam aku?! Kau fikir, aku akan biarkan kau bahagia dengan apa yang kau miliki? Kalau aku kecundang, kau juga harus menerima nasib yang sama seperti aku!” jerkahan Mukhriz, teman sekuliah sewaktu menuntut di universiti, memecah suasana. Sesekali, jerkahannya diselangi dengan tawa puas kerana merasa dendamnya terbalas. Mukhriz, teman yang mengajaknya mencintai dunia. Mengenalkannya dengan hiburan yang keterlaluan. Mengajarnya menganiaya insan yang lemah. Mukhriz bangga dengan dirinya yang mampu menguasai pelbagai teknik seni mempertahankan diri. Dengan kelebihannya, dia mula menindas orang lain. Namun, kegagalan menamatkan pengajian dengan cemerlang membuatkan egonya tercabar. Hatinya lebih panas apabila Zharif berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang. Dalam kesamaran malam, dia dapat melihat beberapa orang yang tidak dikenalinya turut menyerangnya. Sebuah pukulan yang hinggap di kepala membuatkannya tidak sedarkan diri. Setelah dia sedar, dia mendapati dirinya berada di hospital dalam keadaan kepala yang berbalut.
“ Sesungguhnya, Allah suka pada orang-orang yang redha menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan-Nya, baik berupa nikmat atau musibah,” kata-kata Amin menghentikan lamunannya.
“Kamu bisa berkata-kata seperti itu kerana kamu tidak berada di tempatku. Bagaimana aku bisa redha menerima ketentuan-Nya dalam keadaan adikku seperti sekarang? Masyarakat hanya bisa melihat, tetapi yang merasa derita dan penyesalannya siapa? Aku!” bentak Zharif.
Amin tersenyum. Hatinya memanjatkan doa agar sahabatnya itu diberi kekuatan dan sabar menghadapi dugaan.
“Sahabatku,” Amin memulakan bicara.
“Pernahkah kamu berfikir, ujian apakah yang Allah turunkan kepada hamba-Nya yang lain? Kepadaku? Pernahkah kamu membayangkan betapa pedihnya hati ini melihat orang-orang yang kamu sayangi dijemput Ilahi di hadapan matamu sendiri? Itulah ujian Allah kepadaku. Aku telah kehilangan kedua orang tuaku dan kedua orang adik yang amat kusayang di hadapan mataku sendiri. Ternyata, Allah lebih menyayangi mereka. Mata ini menyaksikan bagaimana insan yang amat aku kasihi dibunuh di hadapanku. Penjenayah yang pada mulanya ingin merompak rumah kami bertindak kejam dengan menjadi pembunuh ibu, ayah, dan kedua-dua orang adikku, Khalid dan Umar. Nasibku baik apabila seorang jiran yang menyedari kejadian itu menghubungi pihak polis dan akhirnya penjenayah itu dapat diberkas. Aku masih lagi dapat mendengar bunyi tembakan yang meragut nyawa keluargaku. Tahukah kamu, betapa aku rindu pada mereka? Rindu untuk solat bersama, makan bersama, seperti dulu. Diri ini masih lagi dapat merasa hangatnya tangan ayah dan ibuku sewaktu kami bersalaman usai solat berjemaah. Telinga ini masih lagi terngiang-ngiang dengan suara gurauan adik-adikku,”
Amin cuba menahan kesedihan yang dirasai. Seraya, dia teringat pesanan ustaz Ahmad, guru agama yang sudah dianggap seperti bapanya sendiri. Pesanan yang meminta manusia sabar dan redha dalam menghadapi ujian Ilahi. Allah suka pada hamba-Nya yang sentiasa memuji Allah dalam keadaan susah mahupun senang.
Sungguh, dalam setiap kejadian itu, pasti terselit kebaikan yang tersirat.
“Memang tidak mudah untuk kita menerima ujian dengan hati yang ikhlas, namun, sekurang-kurangnya ingatlah, kita masih punya Allah, pemilik mutlak sekalian alam. ‘Cukuplah Allah bagiku’. Fikirkan dan hayatilah kata-kata ini dengan hati kecilmu. Manusia tidak akan dapat merasai apa itu kebahagiaan hakiki jika hidup berlandaskan nafsu. Isilah hatimu dengan mengingati Allah, mendekatkan diri kepada-Nya, dan sanggup berkorban menegakkan syiar Islam di muka bumi ini. Ramai manusia yang punya daya intelektual yang tinggi, punya kemampuan menafsir emosi orang lain, disenangi masyarakat sekeliling, harta yang melimpah dan dianugerahkan kelebihan yang tersendiri, namun masih lagi terasa ada sesuatu yang kosong di dalam hatinya. Mengapa? Kerana mereka tidak mempunyai kekuatan spiritual. Sebentuk kekuatan yang hanya diperoleh oleh insan yang mendambakan hidupnya untuk agama Allah. Juga untuk insan yang ikhlas dalam pencariannya tentang Allah, tujuan hidupnya, amanahnya sebagai khalifah dan hal-hal yang bersangkutan dengan agama.
Ingatlah, Allah berfirman di dalam al-Quran,
‘dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan Rasul-Nya berikan kepada mereka sambil mereka berkata: Cukuplah Allah bagi kami, Dia dan Rasul-Nya akan berikan kepada kami kurnianya, sesungguhnya pada Allah kami menuju.’ (At-Taubah:59),” ujar Amin sambil menepuk pundak sahabatnya.
Zharif tersentak. Betapa temannya ini mengalami ujian yang lebih berat daripadanya, namun masih mampu kelihatan tenang walaupun luka dan trauma yang dialaminya masih berdarah.
“Ya, Allah! Ampunilah hambamu ini. Hamba akui ya Allah segala kejahilan hamba. Dosa-dosa hamba bagaikan buih-buih di lautan. Banyaknya tidak terkira. Berikanlah hamba petunjuk dan hidayah-Mu. Kuatkanlah hati dan semangat hamba dalam mengharungi liku-liku kehidupan dan ujian dari-Mu. Eratkanlah ikatan silaturrahim antara diriku dengan hamba-Mu yang lain, khususnya antara aku dengan adikku. Berikanlah kesembuhan kepadanya, ya Allah. Berilah hamba peluang untuk menebus kembali dosa-dosa yang telah hamba lakukan dan kesempatan merasai keindahan ukhwah yang terbina antara kami dua beradik. Sungguh terdapat kemanisan dalam segala ujian yang Engkau berikan kepada tiap hamba-Mu. Inilah kemanisan yang ku rasakan daripada ujian-Mu, nikmat Islam dan Iman. Dua nikmat yang suatu ketika dahulu pudar dalam kamus hidupku. Namun, inilah kebahagiaan yang kudambakan selama ini. Kebahagiaan yang datang pabila hidup bersulamkan al-Quran dan sunnah. Inilah kebahagiaan yang hakiki. Kekalkanlah nikmat ini ya Allah. Alhamdulillah..”
Ternyata, air mata keinsafan yang tidak berhenti mengalir dari kolam matanya menjadi saksi kesungguhan taubatnya. Dia tidak putus-putus memanjatkan doa supaya adiknya bisa kembali sedar dan mengharap agar masih ada lagi kesempatan untuknya berbaik semula dengan sang adik.
“ Zharif, saya punya khabar buatmu. Tentang Zahir,” Doktor Fatimah yang baru tiba dari melihat kondisi adiknya, tenang menuju ke arah Zharif.
“Apa yang berlaku?”
“Zahir menunjukkan perkembangan yang luar biasa apabila dia mula memberikan respons positif lebih awal daripada jangkaan. Alhamdulillah, berdasarkan pemeriksaan awal, kami dapati kondisinya semakin stabil. Mungkin semangatnya untuk terus hidup mengatasi penderitaan yang dialami. Mungkin juga berkat doa kamu sebagai abang yang terus mendoakan kesejahteraan adiknya membantunya untuk kembali pulih. Kes seperti ini sangat jarang saya temukan. Lazimnya, dengan kondisi yang sangat kritikal, pesakit hanya bisa bertahan dalam jangka waktu 24 jam. Bersyukurlah dengan nikmat yang diberikan Allah,” kata-kata doktor muda itu mengusik hati kecilnya.
“Terima kasih Ya Allah atas nikmat yang Engkau kurniakan kepada hamba-Mu ini. Berikanlah kesembuhan sepenuhnya kepada Zahir. Ikhlaskanlah hati kami dalam usaha menegakkan syiar agama-Mu. Jadikanlah kami insan yang selalu redha dalam menerima ketentuan-Mu dengan memuji-Mu baik dalam keadaan susah mahupun senang. Cukuplah Allah bagiku. Aku tidak memerlukan tempat bersandar yang lebih baik dari-Mu. Tiada tempat menggantung harapan yang terbaik selain dari-Mu, Ya ‘Aziz- yang Maha Perkasa,” hatinya tidak putus-putus memanjatkan syukur.
“Bantu dan bimbinglah hamba-Mu agar tidak tergelincir dalam lembah kemaksiatan. Amiinn..”
Zharif tersenyum. Dia mahu memulakan lembaran baru dalam kamus hidupnya. Episod silam dijadikan pengajaran agar lebih-lebih berhati-hati dalam menempuh pancaroba dunia. Cukuplah Allah bagiku.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
mantap!
bole wat novel da pasni..kalah laa ramlee awang mursyid..habiburrahman el-shirazy..dan lain2..
tapi duha takkan kalah :p
xder r nk kalahkn en. ramlee, pak habib tu..
menulis utk suka2 je., kalo wt novel takut diaorg x dpt cari mkn.
[perasan..=)]*peace*
ahakz! nk tunggu novel duha plk pasni..yg brtajuk 'kambingku syg'=p
MasyaAllah..best2...
sokong bakal peneraju pusat kambing sedunia....
pasni dah boleh wat novel bersiri
semoga bakat diperluaskan lagi...
pe lagi awanz,mulakan dari skrg!
woo...ni yang menang hari tu ni
mantap2!!hehe
Post a Comment